
PRESS RELEASE
Bintulu – Kesedaran umum tentang kesihatan mental menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.
Namun, masih ramai dalam kalangan masyarakat, terutamanya belia dan golongan profesional muda kurang mendapat pendedahan dan pendidikan yang betul tentang cara mengurus kesihatan mental dengan baik.
Menyedari pentingnya kesedaran ini, bengkel RAKAN Sarawak Destiny Movers Bintulu 2026: Unmask the Mind to Thrive and Flourish telah berlangsung pada 18 April 2026 (Sabtu) di Dewan Premier, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Bintulu.
Bengkel tersebut dianjurkan dengan objektif utama untuk menjadikan kesedaran kesihatan mental sebagai amalan harian.
Seramai 91 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah, pusat latihan teknikal dan institusi pengajian tinggi awam di bandar Bintulu telah menyertai bengkel yang menawarkan pendekatan praktikal dan berorientasikan tindakan yang melangkaui kesedaran kepada aplikasi harian.
Pelajar-pelajar yang mengikuti bengkel ini mewakili 10 orang peserta dari MRSM Bintulu, SMK Kemena (10 peserta), SMK Bintulu (10 peserta), TVETMARA Bintulu (24 peserta), Kolej Vokasional Bintulu (10 peserta), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) (19 peserta) dan ADTEC JTM Kampus Bintulu (8 peserta).
Bengkel dimulakan dengan ceramah bertajuk Kemurungan dan Stigma oleh MENTARI Bintulu yang disampaikan oleh Pakar Psikiatri dari Hospital Bintulu, Dr Muhammad Adeeb.
Seterusnya, sesi interaktif dimulakan dengan tayangan klip video berdurasi 20 minit yang disunting daripada filem seram dan berkisar tentang kesihatan mental bertajuk Azimat, terbitan Faradale Media-M Sdn Bhd yang juga selaku penganjur utama bengkel.
Menggunakan naratif filem Azimat sebagai kerangka reflektif untuk sesi interaktif, peserta dibimbing untuk beralih daripada mencari penyelesaian luaran kepada membina daya tahan dalaman.
Para peserta dilengkapi dengan kemahiran praktikal yang mudah diaplikasikan bagi menyokong kesejahteraan mental dalam situasi kehidupan sebenar berdasarkan tiga (3) teras utama, iaitu Spektrum Manusia (Human Spectrume), Bahasa Itu Penting (Language Matters) dan Kecergasan Mental (Mental Fitness).
Komponen utama latihan interaktif dijalankan dengan mengambill kira aspek kesedaran untuk kehidupan sibuk dan membina ketangkasan emosi.
Peserta berpeluang mempelajari teknik praktikal seperti pernafasan kotak dan latihan bumian (grounding) untuk mengurus tekanan serta mengawal emosi dalam situasi tekanan tinggi.
Dalam membina ketangkasan emosi, peserta belajar memahami spektrum emosi, membezakan antara kesedihan biasa dan rumit serta bertindak balas terhadap cabaran emosi dengan cara yang lebih sihat.
Sesi interaktif pertama bertajuk Characters Within Us and “Quiet Cracking” dibimbing oleh fasilitator Mohamad Nazwan bin Mohamad Taufik dari Yayasan Dee Hati.
Sesi interaktif kedua, iaitu HeART Space dijalankan secara berkumpulan dan dibimbing oleh Anis Wahida binti Amran dari Teduh Jiwa Counselling and Consultancy, serentak dengan sesi Flip the Script oleh Mohamad Nazwan.
Sesi HeART Space memperkenalkan ekspresi berasaskan seni sebagai cara yang selamat dan tidak menghakimi untuk memproses emosi.
Menerusi aktiviti Flip the Script, peserta dilatih mengubah bahasa yang tidak membantu atau meremehkan kepada komunikasi yang empati dan menyokong.
Pada sebelah petang, bengkel diteruskan dengan sesi interaktif berkumpulan, iaitu Exploring The Forging Station yang dibimbing secara bersama oleh Anis Wahida, fasilitator kedua Teduh Jiwa, Jessynthia Wong anak Robert dan Mohamad Nazwan.
Seterusnya, peserta turut mengikuti sesi chair yoga secara dalam talian yang dibimbing oleh Nur Atiqah binti Abdul Taib dari Yayasan Dee Hati.
Di akhir program, menerusi segmen Building a Safety Net, sesi ini dilengkapi dengan aktiviti Safety Net Web dan ceramah interaktif bertajuk Depression and Suicide Awareness yang dibimbing oleh Jesynthia Wong.
Bengkel turut diisi dengan segmen permainan interaktif dan teater imersif Misi Tumbina – Sains, Alam dan Minda yang menggabungkan elemen alam semula jadi dan kesihatan mental pada awal pagi yang disertai oleh seramai 30 orang pelajar MRSM Bintulu dari tingkatan 1 dan tingkatan 2.
Bengkel RAKAN Sarawak Destiny Movers Bintulu 2026: Unmask the Mind to Thrive and Flourish turut disokong dan ditaja oleh Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) dan BIG Pharmacy (Bintulu) yang mana penajaannya mencerminkan komitmen kukuh kedua-dua organisasi terhadap tanggungjawab sosial korporat dan kesejahteraan komuniti.
Sebagai pihak berkuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu dan tonggak komuniti, LPB bukan sahaja komited terhadap kecemerlangan operasi, tetapi juga memacu pertumbuhan mampan yang memperkasa masyarakat setempat.
Bagi pihak BIG Pharmacy, sebagai jenama farmasi komuniti yang dipercayai, ia bukan sahaja komited untuk menyediakan penyelesaian penjagaan kesihatan yang mudah diakses dan berpatutan, malah turut menyokong kesejahteraan komuniti melalui penjagaan ahli farmasi profesional, pendidikan kesihatan dan perkhidmatan kesejahteraan holistik.
Pendekatan Berasaskan Bukti dan Dibimbing Oleh Pakar Bertauliah
Apa yang menarik tentang bengkel ini adalah penyepaduan kepakaran tempatan dengan rangka kerja psikologi yang berasaskan bukti. Program ini menampilkan tiga rakan strategik:
- Yayasan Dee Hati – Pakar dalam kesedihan dan kehilangan, memberikan pandangan tentang penyembuhan dan daya tahan emosi.
- Teduh Jiwa Counselling and Consultancy – Pakar dalam pengurusan tekanan emosi dan pendekatan terapeutik kreatif.
- MENTARI Bintulu – Pusat kesihatan mental komuniti yang memberi tumpuan kepada intervensi awal, pelaporan bertanggungjawab dan pencegahan bunuh diri.
Kesemua modul yang digunakan adalah berasaskan psikologi positif, prinsip Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) dan amalan kesejahteraan holistik yang disampaikan dengan cara yang praktikal, mudah diakses dan relevan dari segi budaya.
Mengenai RAKAN Sarawak dan Destiny Mover
RAKAN Sarawak (Rakan Khidmat Awam Negeri Sarawak) adalah satu inisiatif yang diterbitkan oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan telah menjadi sumber maklumat berkaitan perkhidmatan awam di Sarawak sejak tahun 1994.
Bengkel Destiny Movers merupakan satu siri program bengkel yang dianjurkan di bawah naungan RAKAN Sarawak.
Berdasarkan bengkel terdahulu yang telah diadakan, program ini direka untuk menyokong kesejahteraan emosi, memperkukuh daya tahan dan memperkasakan individu melalui pembelajaran berpandu dan perkongsian pengalaman.
Tema bengkel yang dijalankan sebelum ini menunjukkan komitmen RAKAN Sarawak terhadap pembangunan modal insan yang holistik, merangkumi aspek pemulihan, jangkauan komuniti, pencegahan dan pemerkasaan diri.
Mengenai Faradale Media-M Sdn Bhd
Faradale Media-M Sdn Bhd (FMM), peneraju yang dipercayai dalam komunikasi strategik sejak tahun 1993 mempamerkan kepakarannya dalam kesejahteraan komuniti menerusi inisiatif ini.
Bengkel ini merupakan bukti komitmen berterusan FMM untuk memupuk persekitaran yang selamat dan menyokong di mana individu boleh meneroka keaslian, daya tahan dan kesedaran kesihatan mental.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Faradale Media-M Sdn Bhd
A509, Level 5, Tower A2,
ICOM Square, Jalan Pending,
93450 Kuching, Sarawak
Tel : 082-266808
Faks : 082-266714
Email : rsdm@faradalemedia.com
Website: rsdm.faradalemedia.com